Suatu malam yang hening.
Sunyi. Jelas kedengaran irama sang
cengkerik berlagu menghiburkan alam.
Namun bunyi itu seakan memberi makna kesunyian pada sekeping
hati yang telah lama kesepian.
Dia.
Lama terdiam membisu dalam sebuah persoalan sepi. Dia akui,
kenangan lalu takkan pernah dilupakannya. Tidak sesekali! Kerana kenangan
itulah yang membuatkan dirinya serik. Takut. Dan bersangka-sangka untuk membina
sebuah jambatan ukhuwah yang baru.
Masih dia ingat. Bagaimana remuknya hati pabila dikhianati.
Dilupai. Diabaikan. Disisih. Di sakiti. Dan…diperlakukan seperti dia hanyalah
sekadar pelepas sepi cuma. Apa yang menimpanya, membuatkan hatinya merasa
kosong dan buntu. Dia, tiada arah ingin dituju.
………………………………..
Lama dia berteleku di dalam kegelapan jiwa dengan
bertemankan sendu. Sehinggakan jiwanya terasa bagai diheret di atas permukaan
kasar oleh tiap detik waktu yang berlalu. Lambatnya masa berlalu. Detik hatinya
lesu. Harapannya hilang. Semangatnya lebur.
Selang waktu yang terus berlalu, dia mendongak mencari
sumber kekuatan hakiki. Bersama tangisan di pagi yang hening. Lalu dia bangkit,
mendorong kaki melangkah untuk membersihkan diri. Dia…harus buat sesuatu. Dia, tak
ingin terus dimamah pilu.
Dia berwudhuk.
Segera dia mengangkat takbir dengan hati yang penuh
tawadhuk. Air matanya mengalir lagi menemani jiwanya diruang komunikasi bersama
Rabbul ‘Alamiin. Sesungguh-sungguhnya dia mengadu. Dia meluah. Dia bercerita di
dalam doa qalbunya. “…Jarakkanlah kami, seandainya itu lebih baik untuk kami.” Terlerai sudah segala bebanan hati. Walaupun keputusan itu bukanlah kehendak hatinya namun akal warasnya memaksa untuk melepaskan semuanya.Ya, semuanya!
Doanya makbul. Alhamdulillah.
…………………………….
Air mata diseka. Tergaris senyuman dihujung bibir. Ah, itu
kisah lama….
Kisah dia dizaman jahiliyyahnya. Di zaman dia endah tak
endah pada Tuhannya. Apatah lagi rasa untuk memikul amanah pada agamanya. Pada
waktu itu, sikit pun dia tak ambil peduli. Lantak la…
Tetapi, tidak ketika ini.
Dia tersenyum lagi bersama
semangat diri yang lebih kukuh disirami petunjuk dan hidayah dari Ilahi.
Mengenangkan saat yang pahit, sudah tidak rasa lagi pahitnya kerana terlalu
manisnya iman..- bisik sang hati kecilnya yang kian sembuh dari luka.
Cuma kini…
Dijalan yang indah ini…
Demi agama ini..
Aku perlukan seorang peneman Ya Rabb…
Aku, bersama misi dan visi untuk berkhidmat dalam agama mu.
Jalan dakwah ini tidak mudah untuk aku lalui bersendirian, tambahan pula aku
ini ‘pendatang baru’ di jalan kebenaran. Aku perlukan kekuatan tambahan. Ia
mampu menyokong ku di kala aku putus harapan. Ia menjadi penguatku dikala jiwa
aku lemah dari terus melangkah mendapatkan redha Mu. Ia pula menemani aku
disepanjang jalan ini sehingga aku kembali bertemu dengannya di syurga nanti.
Lalu…terluah jualah dari seulas bibir. Dari hati yang tulus.
“Ya Allah, kurniakanlah kepada ku seorang sahabat yang baik yang solehah yang dapat
menjadi pembimbing ku dan menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya”
Serangkap bait-bait harapan ini.
Di ulang bagaikan air yang
mengalir, tiada putusnya. Dan, tiada jemu.
Hari demi hari. Bulan demi bulan. Detik demi detik.
Dia sabar menanti dengan penuh cita di hati.
Dia yakin, permintaanya akan dikabuli.
Biar pun hati serik untuk menerimanya lagi.
Namun, demi
agama yang suci.
Demi cita-cita setinggi syurga Firdausi,
Dia rela untuk bersahabat lagi.
Bersabarlah duhai hati.


No comments:
Post a Comment
Sudilah beri pandangan yang berhemah dan berhikmah :)