Wednesday, June 15, 2016

Harumnya Akhlak Mu Ya Rasulullah



'Amr ibn Al-'Ash adalah seorang lelaki yang petah dalam berbicara yang sering kali menentang dakwah Rasulullah SAW dengan kata-katanya. Namun, selepas peristiwa Hudaibiyah, cahaya hidayah menyapanya. Dia, bersama Khalid al Walid dan 'Utsman ibn Thalhah berjalan menuju ke Madinah untuk menyatakan keislaman mereka.
Setibanya mereka di Madinah, mereka disambut dengan senyuman Rasulullah SAW, mereka dilayani sebagai saudara dan dimuliakan oleh Baginda.
Bagaimanapun, 'Amr merasakan hanya dirinya yang teristimewa kerana melihat layanan sikap, kata-kata dan perlakuan Rasulullah SAW terhadapnya. Pada hari itu, dia merasakan Rasulullah SAW mencintainya melebihi sesiapa pun. Dia berfikir begitu kerana dia merasakan bakatnya dalam kepetahan berbicara itu dapat memberi manfaat pada dakwah dan perjuangan Rasulullah SAW. Sungguh, dia merasai dia terlalu istimewa di sisi Rasulullah SAW.

Maka, dengan keterujaannya, dia memberanikan diri untuk bertanya kepada Rasulullah SAW bagi meminta kepastian,"Ya Rasulullah," Dia berbisik perlahan ketika kudanya berada seiring dengan kuda yang ditunggangi Nabi SAW. "Siapakah yang paling kau cintai?"
Nabi SAW tersenyum seraya menjawab,"'Aisyah"
"Maksudku dari kalangan laki-laki," kata 'Amr
"Ayah 'Aisyah," Rasulullah SAW terus saja mengukir senyumnya.
"Lalu siapa lagi," "Umar," jawab Rasulullah SAW.
"Lalu siapa lagi,?
"Utsman," Dan, beliau terus tersenyum.
Pada waktu yang lain, ketika 'Amr menceritakan perihal diatas dia berkata," Setelah itu, aku menghentikan tanyaku. Aku takut namaku akan disebut paling akhir," 'Amr mula tersedar selepas dia berbincang bersama Khalid al Walid dan juga 'Utsman bahawanya lelaki bernama Muhammad itu adalah jenis manusia yang membuatkan tiap-tiap jiwa akan merasa paling dicinta dan paling berharga. Dan Muhammad itu tersangatlah jujur pabila ditanya. Setiap kata-katanya bukanlah omongan atau senda gurauan.
Begitulah sikap baginda Rasulullah SAW dalam berukhuwah dengan sesama insan. Akhlak baginda sememangnya indah dan menakjubkan. Apa yang paling menarik, setiap jiwa yang mendekatinya akan merasakan paling istimewa, merasa berharga, merasa diberi perhatian. Inilah semua yang tersaji didalam sebuah ketulusan yang utuh pada akhlak baginda Rasulullah SAW.
Akhlak beginilah yang sepatutnya ada pada setiap diri orang-orang mukmin dalam menjaga kebersamaan ukhuwah. Namun tak semua orang dapat mencontohinya jika tidak menghayati cinta dan kasih Ilahi. Akhlak baginda ini, umpamanya seperti haruman bunga mawar yang indah. Sekalipun kelopaknya bertaburan disana sini, namun harum wangiannya menusuk jiwa insani.
'Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad'
[Kisah ini dipetik daripada buku Dalam Dekapan Ukhuwah - penulisan Tuan Salim A.Fillah]
..................................... AL KISAH SEBABAK ..................................
"Sahabat ku, ada persis akhlak sebegini." tuturnya perlahan sambil pandangannya dilemparkan jauh-jauh.
"Iyakah? Tentu semua orang suka mendekatinya," jawabku dengan tekaan dibenak fikiran.
Dia memandang sekilas, kemudian tersenyum. "Sudah tentu. Pada awalnya aku tak tahu dia sememangnya begitu, sehingga buat aku cemburu,"
"Jadi, sekarang kau sudah mengerti?"
"Ya, seringkali aku perhatikan sikapnya dalam melayani orang-orang yang datang kepadanya. Baik yang sudah lama kenal, mahupun yang baru kenal, semuanya seperti sudah berkenalan 10 tahun lamanya. Lama juga aku membuat pemerhatian dan nilaian. Akhirnya, aku mengetahui tentang kisah 'Amr ibn Al-'Ash ini. Ternyata, akhlaknya membawa percikkan haruman akhlak baginda Rasulullah dalam menjalinkan ukhuwah sehingga semua yang mendekatinya berasa sangat senang dan ingin sentiasa bersamanya." Ulasnya panjang lebar.
"Termasuklah dirimu?"
Seraya dia memandangku. Dia angguk perlahan dan berkata, "Ya. Tapi aku senang menjadi orang kanannya. Dengan memahami sikap dan akhlaknya sebegitu."
"Kau..dah tak cemburu?"
"Mungkin...tidak. Atau mungkin sedikittt saja. Cuma aku bangga dengannya. Kerana aku sendiri masih gagal mencontohi akhlak seperti itu." Luahnya sambil tersenyum manis. Pandangannya kembali dilemparkan ke langit nan biru.
Aku turut mengekori pandangannya. Indah. Seindah kebersamaan dalam berukhuwah. Moga-moga ukhuwah..
"Moga-moga ukhuwah sentiasa indah seperti sebiru hari ini..." ucapnya seperti menyambung monolog hatiku yang tak sempat diucap tadi.
"InsyaAllah." Aku mengukir senyuman.





Kembara Ukhuwah Bermula

Ting.

"Assalamu'alaikum," Satu skrin mesej di laman sosial Facebook terpapar dibahagian kanan sebelah bawah. "Maaf, baru bertegur sapa," sambungnya.

Aku hanya senyum ringkas. Lambat-lambat juga aku ingin membalasnya. 
"Wa'alaikumussalam.."

Dan seterusnya.....seterusnya...hingga sedar tak sedar, kini hampir tiga tahun persahabatan kami.

Pada awalnya, aku hanya menyangka dia seorang lelaki yang cuba membuat penyamaran dengan tujuan suka-suka. Sebab itu jugalah aku melayannya endah tak endah dan pada masa yang sama aku juga ingin menyiasat.

Akhirnya, terbongkar segala kemisterian. Rupanya, ukhti 'misteri' ini adalah salah seorang kakak yang turut hadir di usrah bulanan. Maka, bermulalah segala ceritera.....
Maka, berakhirlah sebuah penantian dalam doa tulus. 
Maka, terungkailah segala jawapan.
Maka, terhijablah segala hikmah dan tarbiah.

Inilah jejak permulaannya.
Bersama seorang hambaNya yang membawa aku mengembara merentasi sempadan-sempadan ukhuwah!


Terima kasih Allah atas kurniaan ini. 





Monday, May 16, 2016

Dialah Guru!


"Terima kasih awak sebab sudi jadi 'Guru Kehidupan' saya. Selamat Hari Guru!"


"Siapa pun bisa menjadi guru dalam kehidupan kita,
asal saja kita dapat mengambil ibrah dari tiap titipan tarbiah Allah untuk kita...  

Terkadang nasihat itu tidak langsung pada bicara,
Terkadang nasihat itu tidak terzahir dengan kata-kata mahu pun tingkah laku,
Maha bijaksana ALLAH mengurniakan kita aqal fikiran untuk kita memikirkan kembali akan ibrah di setiap tarbiah kehidupan yang dititipkanNya... 

Tarbiah Allah dalam kehidupan kita itu tidak pernah terlewat,
Ia hadir di saat yang sangat tepat,
Di saat kita memerlukan DIA...
Di saat kita tidak memiliki apa-apa selain DIA...
Di saat itu, kita sedari...
Allah sentiasa ada untuk kita...
dan Allah tidak pernah membiarkan kita sendiri... 

Syukur pada Allah,
atas rahmat dan kasih sayang dariNya..."


"Seee! Dia memang guru....! "  *thumbs Up*


---------------------

P.s: Namun, sebaik-baik 'Guru Kehidupan' tetaplah  baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah sebaik-baik murrobi. Allahumma Solli 'ala Muhammad. :')



Hairannya Si Rakan



“Apa yang membuatkan kau berubah sehingga jadi macam ni?” bernada sinis soalannya. Sepasang mata itu tidak lepas daripada menatapinya dari atas hingga ke bawah.

Tudung macam khemah. Pakai pula bersarung-sarung. Huh! Apakah ini??

Namun, dia tersenyum. Seakan dia mendengar bisik bicara dihati kecil yang penuh dengan persoalan ‘misteri’ itu.

“Kerana…kisah lalu.”

“Kisah lalu?? Apakah itu? Boleh aku tahu?”

Dia tersenyum lagi. Kalau diikutkan hati, dia tidak ingin jejakkan fikirannya pada lopak kenangan itu. Tetapi, bila difikirkan tentang ‘hikmah & tarbiah’ yang telah dikurniakan oleh Tuhan Yang Maha Esa kepadanya. Dia akur untuk mengatakan tetapi hanya analoginya sahaja.

“Umpamanya begini, kau sedang asyik layan Facebook kat laptop kau dalam bilik. Tiba-tiba mak kau panggil sebab nak minta tolong pergi kedai belikan ikan sardin. Tapi kau TAK PEDULI. Kau leka dengan Facebook, chatting, Youtube, game dan sebagainya. Sampaikan mak kau dah geram sangat-sangat, dia terjah masuk bilik kau dan tarik telinga kau kuat-kuat. Malah, dia mencabut suis laptop kau dengan begitu sahaja. Dan, laptop kau ‘shut down’ tanpa kau sempat save apa-apa pun. Kau tercengang. Lalu, kau pun bertanya, “Kenapa ni mak?? Kenapa mak tutup suis laptop saya? Saya tak sempat save apa-apa pun. Tak sempat nak log out Facebook. Huhu” Mak kau pun jawab, “Ohoo..tau pula kau nak bertanya kenapa ya? Dulu Mak belikan kau laptop ni untuk kemudahan kau belajar dan sekali sekala berhibur. Bukannya, kau berhibur sampai kau leka. Sampaikan kau tak peduli sekeliling. Mak panggil nak mintak tolong pun kau tak menyahut. Kau TAK PEDULI. Jadi sekarang ni, mak nak ambik balik laptop ni! Bye-bye!Huh!”

“Err..apa yang berlaku selepas tu?”

Hehe..rakannya itu teruja pula nak tahu. Dia menyambung lagi menamatkan cerita, 
“Kau pun merayu. Kau memujuk-mujuk mak kau. Kau menangis sebab kau sayang sangat laptop tu. Walaupun laptop tu sebenarnya agak ‘weng’ sikit sebab dah banyak diserang virus, tapi dalam tu ada macam-macam folder-folder kenangan yang kau simpan. Selepas kejadian tu, kau MULA PEDULI akan mak kau. Kau ambil berat tentangnya. Kau jaga mak kau dengan baik. Sampaikan satu tahap, kau benar-benar ikhlas. Kau tak bertanya lagi tentang laptop lama kesayangan kau tu. Kini, kau rasa bahagia….sangat bahagia disamping ibunda tercinta. Kini, kau juga mula mengerti yang mana PRIORITI.”

“Oo..tapi, apa kaitanya dengan perubahan kau ni??” Rakan itu masih belum mengerti rupanya.

“Cubalah kau kaitkan dengan kisah tadi. Kisah aku…tentang Manusia dan Tuhannya.” Jawabnya ringkas. Namun penuh makna tersirat.


------------------------------------------------

Sehinggalah suatu hari, mak kau berkata, “Mak kagum dengan perubahan kau. Kau dah MULA PEDULI kan mak. DAH TAK MACAM DULU LAGI. Mak ingat..mak nak belikan kau laptop baru. Laptop lama kau ni dah banyak sangat virusnya.”

“Waa…bila tu mak??”


Nantilah…suatu masa nanti. InsyaAllah. :’)



Allah. Maha Pengasih Maha Penyayang. Tidaklah seperti yang digambarkan sifatnya seperti 'mak' diatas. Itu hanyalah analoginya sahaja. Namun, itulah 'perumpamaan' kisah perjalanan seorang hambaNya sebelum kembali mencari fitrah.

"Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah Yunus, ayat: 55]
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri." [Surah Yunus, ayat: 44]
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." [Surah Al-Baqarah, ayat: 186] 
 "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Surah al-Ghafir ayat 60] 

Allah itu Maha Baik!


Dia Menanti Akan 'Dia'

Suatu malam yang hening. 
Sunyi. Jelas kedengaran irama sang cengkerik berlagu menghiburkan alam.
Namun bunyi itu seakan memberi makna kesunyian pada sekeping hati yang telah lama kesepian.

Dia.
Lama terdiam membisu dalam sebuah persoalan sepi. Dia akui, kenangan lalu takkan pernah dilupakannya. Tidak sesekali! Kerana kenangan itulah yang membuatkan dirinya serik. Takut. Dan bersangka-sangka untuk membina sebuah jambatan ukhuwah yang baru.

Masih dia ingat. Bagaimana remuknya hati pabila dikhianati. Dilupai. Diabaikan. Disisih. Di sakiti. Dan…diperlakukan seperti dia hanyalah sekadar pelepas sepi cuma. Apa yang menimpanya, membuatkan hatinya merasa kosong dan buntu. Dia, tiada arah ingin dituju.
………………………………..
Lama dia berteleku di dalam kegelapan jiwa dengan bertemankan sendu. Sehinggakan jiwanya terasa bagai diheret di atas permukaan kasar oleh tiap detik waktu yang berlalu. Lambatnya masa berlalu. Detik hatinya lesu. Harapannya hilang. Semangatnya lebur.

Selang waktu yang terus berlalu, dia mendongak mencari sumber kekuatan hakiki. Bersama tangisan di pagi yang hening. Lalu dia bangkit, mendorong kaki melangkah untuk membersihkan diri. Dia…harus buat sesuatu. Dia, tak ingin terus dimamah pilu.

Dia berwudhuk.

Segera dia mengangkat takbir dengan hati yang penuh tawadhuk. Air matanya mengalir lagi menemani jiwanya diruang komunikasi bersama Rabbul ‘Alamiin. Sesungguh-sungguhnya dia mengadu. Dia meluah. Dia bercerita di dalam doa qalbunya. “…Jarakkanlah kami, seandainya itu lebih baik untuk kami.” Terlerai sudah segala bebanan hati. Walaupun keputusan itu bukanlah kehendak hatinya namun akal warasnya memaksa untuk melepaskan semuanya.Ya, semuanya!

Doanya makbul. Alhamdulillah.
…………………………….
Air mata diseka. Tergaris senyuman dihujung bibir. Ah, itu kisah lama….
Kisah dia dizaman jahiliyyahnya. Di zaman dia endah tak endah pada Tuhannya. Apatah lagi rasa untuk memikul amanah pada agamanya. Pada waktu itu, sikit pun dia tak ambil peduli. Lantak la…

Tetapi, tidak ketika ini. 
Dia tersenyum lagi bersama semangat diri yang lebih kukuh disirami petunjuk dan hidayah dari Ilahi. Mengenangkan saat yang pahit, sudah tidak rasa lagi pahitnya kerana terlalu manisnya iman..- bisik sang hati kecilnya yang kian sembuh dari luka.
Cuma kini…
Dijalan yang indah ini…
Demi agama ini..

Aku perlukan seorang peneman Ya Rabb…
Aku, bersama misi dan visi untuk berkhidmat dalam agama mu. Jalan dakwah ini tidak mudah untuk aku lalui bersendirian, tambahan pula aku ini ‘pendatang baru’ di jalan kebenaran. Aku perlukan kekuatan tambahan. Ia mampu menyokong ku di kala aku putus harapan. Ia menjadi penguatku dikala jiwa aku lemah dari terus melangkah mendapatkan redha Mu. Ia pula menemani aku disepanjang jalan ini sehingga aku kembali bertemu dengannya di syurga nanti.

Lalu…terluah jualah dari seulas bibir. Dari hati yang tulus.

“Ya Allah, kurniakanlah kepada ku seorang sahabat yang baik yang solehah yang dapat menjadi pembimbing ku dan menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya”

Serangkap bait-bait harapan ini. 
Di ulang bagaikan air yang mengalir, tiada putusnya. Dan, tiada jemu.
Hari demi hari. Bulan demi bulan. Detik demi detik.
Dia sabar menanti dengan penuh cita di hati.
Dia yakin, permintaanya akan dikabuli.
Biar pun hati serik untuk menerimanya lagi. 
Namun, demi agama yang suci. 
Demi cita-cita setinggi syurga Firdausi,
Dia rela untuk bersahabat lagi.


Bersabarlah duhai hati.





Universiti Tarbiah




Assalamu’alaikum WBT & Salam Sejahtera,


Pada entri yang lepas, saya ada kongsikan tentang makna UKHUWAH. Dan pada entri kali ni, saya nak kongsikan APA ITU TARBIAH. Tentu ada yang hairan, apa kaitannya ukhuwah dan tarbiah?

Dan, ramai yang tidak sedar tentang kewujudan proses tarbiah di dalam sebuah ukhuwah.
Dalam blog PANDAkwah ni, dua perkara ini saya jadikan ia sebagai tema utama. Kerana apa yang saya cuba ketengahkan adalah tentang hikmah bersama tarbiah di dalam ukhuwah. Secara dasarnya, ramai antara kita hanya faham ukhuwah tanpa memahami tarbiah yang hadir bersamanya. Contohnya, apabila berlaku permasalahan di dalam ukhuwah, apa yang kita nampak kita nilai hanyalah sikap masing-masing. Namun, apakah hikmah dan unsur tarbiahnya? Ini yang kita nak korek…

Tapi, sebelum saya terus kepada perkongsian kisah-kisah kehidupan berkaitan ukhuwah dan tarbiah, jom kita fahami dan hadam dulu APA ITU TARBIAH?

Apabila kita merujuk kepada kamus bahasa Arab kita akan mendapatkan bahwa kata "Tarbiyah" sedikitnya memiliki tiga asal kata ;

Pertama, robaa-yarbuu yang bererti bertambah dan berkembang. [Surah ar-Rum : 39].
Kedua, robiya-yarba yang bererti tumbuh dan terbina.
Dan ketiga, robba-yarubbu yang bererti mengishlah, mengurus dan memberi perhatian.

Kemudian para ulama mengembangkan pengertian lughowi ini menjadi pengertian istilahi dari tarbiyah. Imam Baidhawi (685 H) mengatakan dalam tafsirnya ‘Anwarut-Tanzil Wa Asrarut-Ta'wil’,

'Makna asal dari kata ‘Robb’ adalah tarbiyah iaitu menghantarkan sesuatu secara bertahap hingga sampai ke tingkat kesempurnaan.'

Dalam kitab Mufradat, Ar-Raghib Al-Ashfahani mengatakan,
'Makna asal dari kata ‘Robb’ adalah mengembangkan dan menumbuhkan sesuatu secara bertahap hingga sampai kepada kesempurnaan.'

Dalam Risalah Tarbiyah wat Ta’lim karya Abu Hamidah Al-Harbi pula mengatakan bahawa; 

‘Tarbiyah merupakan usaha yang terus menerus dan pemupukan yang konsisten.’


Manakala, definisi tarbiah pada individu  - ia adalah proses pendidikan/pengembangan diri individu itu untuk mencapai kebaikan/kesempurnaan secara bertahap.

Secara umumnya, tarbiah adalah suatu proses yang bersifat ‘mendidik’. Proses inilah yang berlaku di dalam ukhuwah. Proses ini melalui pelbagai fasa yang berbeza. Kita yang mengalaminya juga akan merasakan suatu kesan yang berbeza-beza. Cara dan bagaimana ia berlaku juga tidak sama. Mungkin ada yang berkata, “Sekarang mudahlah nak faham sebab dalam teori.

Ta-pi, tak susah pun nak faham bila kita alaminya sendiri. APA YANG PENTING, kita sentiasa celik tentang wujudnya ‘proses’ tarbiah dalam kita berukhuwah. ;)

Sekian saja perkongsian kali ini. Semoga Allah kurniakan kefahaman kepada kita semua atas perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini. Aamiin~



P.s: Kehidupan ini  adalah Universiti Tarbiah. Ukhuwah salah satu kursus yang disediakan. Kita adalah para pelajar. Ujian itu penentu LULUS atau GAGALkah kita disisi nilaian Murrobi Agung - Allah SWT.



Saturday, May 14, 2016

NOTA RINGKAS (BAH. 1 & 2)

Ini adalah nota ringkas daripada dua entri bekaitan Ukhuwah sebelum ni. Kalau nak baca huraiannya, silalah baca di :




JENIS-JENIS UKHUWAH DALAM ISLAM:

  • Ukhuwah fi al Ubudiyyah (bahwa seluruh makhluk adalah bersaudara dalam erti memiliki persamaan)
  • Ukhuwah fi al insaniyah (seluruh  manusia  bersaudara)
  • Ukhuwah fi al-wathaniyah wa al nasab (Persaudaraan dalam keturunan dan kebangsaan)
  • Ukhuwah fi din al Islam (persaudaraan antara sesama muslim)

.


APAKAH PERINGKAT-PERINGKAT UKHUWAH DALAM ISLAM?


  1. Ta’aruf (saling berkenalan)

  2. Ta’aluf (bersatunya seorang muslim dengan muslim yang lainnya, atau bersatunya individu dengan individu yang lain)

  3. Tafahum (saling memahami)

  4. Ri’ayah dan Tafaqud (sikap ambil tahu atau kepedulian seorang muslim kepada saudaranya)

  5. Ta’awun (saling membantu)

  6. Tanashur (bermaksud lebih spesifik daripada ta’awun)





  P.s: Sesiapa yang nak share/ copy paste nota ringkas ni silakan. Semoga bermanfaat.

U.K.H.U.W.A.H - Jom, kenal rapat lagi! (BAHAGIAN 2)





Assalamu'alaikum WBT  & Salam Sejahtera,


Terima kasih kerana sudi menjengguk di sini. :)
Alhamdulillah, pada entri yang lepas - entri yang paling awal, saya ada kongsi tentang MAKSUD UKHUWAH dan jenis-jenisnya. Jika ada yang belum baca (mungkin anda pertama kali menjengguk disini- Selamat Datang!), boleh baca disini ya. Bagi yang dah baca, mudah-mudahan kalian diberi kefahaman yang berterusan untuk memahami perkara asas tentang ukhuwah. InsyaAllah.

Sejujurnya, bukan mudah nak faham secara praktikalnya berbanding teori. Tapi tak apa. Pelan-pelan hadam. Kunyah sampai lumat, kemudian baru telan. Baiklah, sekarang kita baca pula APAKAH PERINGKAT-PERINGKAT UKHUWAH DALAM ISLAM?

Ukhuwah dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang jelas. Manakala jalan menuju ukhuwah pula memiliki banyak peringkat atau tahapan. Seorang muslim itu tidak akan mendapatkan ukhwah dengan saudaranya selagi mana ia tidak melaluinya.

Jom, baca selanjutnya!



1. Ta’aruf

Kata ta’aruf  bererti saling berkenalan sesama manusia, seperti   Ta’arrafu ila Fulan ertinya; ‘Saya memperkenalkan diri kepada si Fulan.’ (Abdul halim M, 2000 : 30). Imam Ahmad  meriwayatkan dengan sanadnya dari Durrah binti Abi Lahab r.a. (isteri Abdullah bin umar r.a.) berkata , “Seorang laki-laki menghadap Nabi SAW ketika beliau berada diatas mimbar. Ia bertanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Beliau menjawab, ‘Manusia yang paling baik adalah yang paling banyak membaca Al-Qur’an, bertanya kepada Allah SWT, memerintahkan yang ma’ruf, mencegah kemungkaran, dan menyambung tali silaturrahim”.

Saling mengenal diantara kaum muslimin merupakan simbol ketaatan kepada perintah Allah SWT. Pada ayat berikut maksudnya: “Hai sekalian manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan dan kami jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu disisi Allah adalah yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal”. [Qs Al Hujurat, 49 : 13]

Yang demikian itu mengharuskan seorang muslim mengenal saudaranya seiman, namanya, nasabnya, dan status sosialnya, bahkan ia harus mengetahui hal-hal yang disukai dan tidak disukainya hingga dapat membantunya jika ia berbuat baik, memohonkan ampun untuknya jika ia berdosa, mendoakan untuknya dengan kebaikan jika tidak berada ditempat, dan mencintainya jika ia bertaubat. Dan semuanya itu adalah hak-hak muslim atas saudaranya seiman sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami dalam al-Firdaus dengan sanadnya dari Anas r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Empat hak orang muslim yang harus kau tunaikan , iatu hendaklah engkau menolong orang yang berbuat baik,  memintakan ampun bagi yang berbuat dosa, mendo’akan kebaikan bagi yang berpisah, dan mencintai orang yang bertaubat diantara mereka.”


Saling mengenal diantara kamu ialah langkah pertama, dalam menuju terjalinnya ukhuwah kerana Allah. Ia merupakan kunci pembuka hati, penjinak, dan penarik simpati. Tahapan ta’aruf akan mengantarkan kepada tahapan berikutnya dalam menuju ukhuwah islamiyah, iaitu ta’aluf.


.....................................................................


2. Ta’aluf

Ta’aluf  bermaksud, bersatunya seorang muslim dengan muslim yang lainnya, atau bersatunya individu dengan individu yang lain. Ta’aluf berasal dari kata ilf yang bermaksud persatuan. I’talafa an –nasu bermaksud orang bersatu dan bersepakat.

Kata ulfah juga serupa dengan kata ilf yang memiliki makna kecintaan Allah SWT kepada orang-orang yang beriman, yang mana Allah telah mempersatukan hati mereka. Allah SWT berfirman:

“…Ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu dimasa jahiliyah bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hati kalian dan menjadikan kalian orang-orang yang bersaudara kerana nikmatNya”. [QS Ali Imran: 103]

…Walaupun kalian membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kalian tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka…” [QS Al Anfal: 63]

Pada  dasarnya kecintaan itu haruslah untuk Allah kerana apabila seorang muslim memiliki sifat berlapang dada, bersih hatinya, dan taat kepada Allah serta Rasulnya, dan merupakan sifat aslinya, maka ia akan bersatu, mencintai, dan tertarik kepada keduanya. Hal ini sesuai dengan hadith yang diriwayatkan Oleh Muslim dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ruh-ruh itu ibarat tentera-tentera yang tersusun, yang saling mengenal nescaya bersatu, sedangkan yang tidak saling mengenal nescaya berpisah”.

Ketertarikan dan saling mencintai adalah hasil dari wujudnya keserasian/kebersamaan antara dua orang, sebagaimana perpisahan dan saling membenci adalah akibat dari ketidaksesuaian. Dalam kedua keadaan itu, mencintai atau membenci tetaplah harus kerana Allah.

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya bahwa Rasulullah SAW, bersabda: “Orang mukmin itu mudah disatukan. Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak menyatu dan tidak bisa mempersatukan.” [Imam Ahmad dalam musnadnya, III/400, al-Halabi, Mesir, 1313 H]

Salah satu kewajiban ukhuwah adalah, hendaknya seorang muslim menyatu dengan saudaranya sesama muslim. Seiring dengan itu, hendaklah ia melakukan hal-hal yang mampu menyatukan dirinya dengan saudaranya.

.....................................................................


3. Tafahum

Hendaklah terjalin sikap tafahum (saling memahami)  antara seorang muslim dengan saudaranya sesama muslim, ia dimulakan dengan saling memahami bersama prinsip-prinsip asas ajaran Islam. Ia juga perlu difahami dalam berhadapan dengan cabang-cabang permasalahan. 


.....................................................................


4. Ri’ayah dan Tafaqud

Pengertian ri’ayah dan tafaqud adalah, hendaknya seorang muslim memperhatikan keadaan saudaranya agar ia bersegera dalam memberikan pertolongan sebelum saudaranya tersebut memintanya, kerana pertolongan itu merupakan salah satu hak saudaranya yang harus ia tunaikan.

Teks dalil tentang kewajiban memberikan perhatian adalah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanadnya dari Anas r.a. dari Nabi SAW beliau bersabda: “Tidaklah beriman seseorang dari kalian, sehingga ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya.”

Salah satu bentuk perhatian adalah, hendaknya seorang muslim menutup aib saudara muslimnya. Imam Muslim telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW beliau bersabda: “Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain kecuali Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Di antara bentuk perhatian seorang muslim kepada saudara muslimnya adalah, hendaknya ia berusaha sekuat tenaga untuk menghilangkan kecemasannya apabila sedang ditimpa kecemasan, meringankan kesulitan yang dihadapinya, menutup aibnya, dan membantunya dalam memenuhi kebutuhan.

Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW. beliau bersabda: “Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa menutupi aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya.”


.....................................................................


5. Ta’awun

Ta’awun bermaksud saling membantu. Allah SWT telah memerintahkan hamba-hambanya yang beriman untuk bantu-membantu dalam melaksanakan kebaikan, yang disebut dengan kata al birr, dan dalam perilaku meninggalkan  kemungkaran yang disebut dengan kata at taqwa.

Adapun yang mengatakan bahwa kata al-birr meliputi hal-hal yang diwajibkan dan mandub [sunnah] sedangkan at-taqwa bererti menjaga kewajiban. Allah SWT melarang orang-orang beriman untuk saling membantu dalam kebatilan dan perbuatan dosa.

Jenis-jenis ta’awun yang dilaksanakan oleh orang-orang yang berukhuwah dalam Islam banyak jumlahnya. Diantaranya:

Ta’awun dalam memerintahkan yang ma’ruf, mengamalkan kebaikan, dan melaksanakan ketaatan sesuai dengan petunjuk Islam, bahawa seperti yang dikatakan sebaik-baik sahabat adalah yang mengingatkanmu apabila kamu lupa dan membantumu apabila kamu ingat. Mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah merupakan amalan yang menyenangkan hati apabila terdapat sahabat dan orang yang menolong.

Ta’awun dalam meninggalkan kemungkaran, hal yang diharamkan, dan bahkan yang makruh. Mencegah perbuatan munkar dan ta’awun dalam meninggalkannya merupakan perilaku yang menyenangkan hati.

Ta’awun dalam mendekatkan dan mendorong manusia untuk berada di atas kebenaran, menghubungkan mereka dengan jalan petunjuk, dan berupaya terus menerus untuk mengubah mereka dari suatu keadaan kepada keadaan lain yang lebih diredhai Allah SWT. Ini merupakan amalan yang memerlukan usaha dan dilakukan oleh lebih dari satu orang. Oleh kerana itu, ia harus ada ta’awun.

Amalan ini, iaitu ta’awun adalah untuk memberi petunjuk kepada orang muslim dan membawanya kepada jalan yang ditempuhi oleh golongan yang mencari redha Allah dengan melaksanakan amal soleh, menurut Islam, ianya lebih berharga daripada unta merah yang merupakan kenikmatan dunia yang paling besar dan paling berharga.

Abu Dawud telah meriwayatkan dengan sanadnya dari Sahl bin Sa’ad ra. dari Nabi SAW bersabda: “Demi Allah, jika Allah memberikan hidayah kepada seseorang kerana dakwah yang engkau sampaikan kepadanya, sungguh hal itu lebih baik bagimu daripada unta merah.”


.....................................................................


6.  Tanashur

Ia masih sama seperti  ta’awun, tetapi memiliki pengertian yang lebih mendalam, lebih luas, dan lebih menggambarkan makna cinta dan kesetiaan. Tanashur melibatkan hubungan dua orang yang berukhuwah dalam Islam dan ianya memiliki banyak makna, diantaranya:


  • Seseorang tidak menjerumuskan saudaranya kepada sesuatu yang buruk atau dibenci, tidak pula membiarkannya tatkala ia meraih suatu kemaslahatan (keperluan) yang tidak membahayakan orang lain.
  • Hendaklah seseorang mencegah saudaranya dan menolongnya dari syaitan yang membisikkan kejahatan kepadanya dan dari fikiran-fikiran buruk yang terlintas pada dirinya untuk menunda pelaksanaan amal kebaikan.
  • Menolongnya menghadapi setiap orang yang menghalanginya dari jalan kebenaran, jalan hidayah, dan jalan dakwah.
  • Menolongnya, baik saat menzalimi mahupun saat dizalimi. Menolong saat menzalimi iaitu dengan cara mencegahnya dari perbuatan zalim, sedangkan menolongnya pada saat dizalimi adalah dengan berusaha menghindarinya dari kezaliman yang menimpanya.

Tidak akan terjadi tanashur di antara orang-orang yang bersaudara dalam Islam kecuali masing-masing bersedia memberikan pengorbanan untuk saudaranya, baik pengorbanan waktu, tenaga, mahupun harta.

Tanashur dengan makna sebagaimana yang telah disebutkan di atas merupakan penekenan dari ta’awun dan merupakan terjemahan nyata dari “ukhuwah dalam Islam”. Orang-orang yang berukhuwah dan bertanashur dalam kebenaran dan di atas kebenaran adalah paling layak mendapat redha, bantuan, dan pertolongan Allah SWT, juga merupakan pertolongan kepada agamaNya beserta kebenaran yang dibawanya. Allah SWT telah menjelaskan bahawa Dia pasti menolong siapa saja yang menolongNya ketika berfirman: “Sesungguhnya Allah pasti benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [QS Al-Hajj: 40]



[Sumber rujukan dan olahan bahasa (Indonesia - Melayu) daripada blog AlQuranmulia artikel Dr. Halim Mahmud dan blog Ahmad Muhasim]


Fuhh~~ Subhanallah. Panjang juga huraian tentang peringkat-peringkat ukhuwah ni yer. Baru tau, rupa-rupanya makna ukhuwah ni besar cabangnya. Selama ini, kita hanya tahu bertegur sapa, berkenalan, berborak-borak dan kemudian berjumpa lagi – ini sudah cukup dikatakan berukhuwah. Jadi sekarang pengetahuan kita lebih meluas lagi dengan memahami peringkat-peringkat ukhuwah dan perlaksanaannya.

InsyaAllah, mudah-mudahan Allah beri kefahaman kepada kita.

Maka dengan ini, berakhirlah serba sedikit perkongsian tentang Ukhuwah. Selepas ini, saya akan kongsikan pula tentang Apa Itu Tarbiah? Tarbiah dan Ukhuwah, apa kaitannya?

Ada kaitannya. Nanti saya ceritakan pada entri-entri yang akan datang. InsyaALLAH. Tapi sebelum tu kita mesti fahami dulu apa maksud tarbiah? Okey ;)



U.K.H.U.W.A.H - Jom, kenal! (BAHAGIAN 1)


Assalamu'alaikum WBT & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah. 
Ini adalah entri pertama atau pembukaan bagi blog yang bertemakan ukhuwah dan tarbiah ini. Sejujurnya, saya sendiri bukanlah orang yang layak digelar alim atau 'arif untuk mengulas tentang dua perkara ini. Malah, saya sendiri di 'saat ini' sedang cuba mengorek, mendalami dan cuba untuk memahaminya. Jadi, di blog inilah kita akan sama-sama berkongsi rasa, kisah, ibrah, hikmah dan tarbiah daripada sebuah ungkapan U.K.H.U.W.A.H.

Mungkin ada yang sedia tahu, mungkin ada juga yang kurang tahu tentang APA MAKSUD UKHUWAH? Jom kita raikan persoalan ini.

Dalam kamus bahasa arab Ukhuwah (الأُخُوَّة ) bererti persaudaraan . Jika kita sebut Ukhuwah al-Islamiyyah ini berarti Ukhuwah yang terjalin antara muslim kerana ke-islaman-nya bukan kerana faktor lain.

Ada juga yang mengatakan bahawa Ukhuwah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'akhun' yang bermaksud saudara, kawan, teman dan sahabat.

Imam Hassan al-Banna pernah berkata,
"Aku maksudkan dengan Ukhuwah ialah; Hati dan jiwa ditautkan dengan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain."

Ukhuwah juga pada mulanya bererti “ persamaan dan keserasian dalam banyak hal”. Kerananya persamaan dalam keturunan mengakibatkan persaudaraan, persamaan dalam sifat-sifat juga mengakibatkan persaudaraan. [Sumber: Al Qiyam Al Islamiyah fi Al-Suluk Al-Iqtisadiy]



Nak tau? Ukhuwah ada bermacam-macam.

Ukhuwah fi al Ubudiyyah, iaitu bahwa seluruh makhluk adalah bersaudara dalam erti memiliki persamaan. "Dan tidaklah binatang-binatang yang ada dibumi, dan tidak pula burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, kecuali umat seperti kamu juga." [QS Al an'am {6}; 38]. Persamaan ini antara lain, dalam ciptaan dan ketundukan kepada Allah [QS.  Al Baqarah  {2}; 28].


Ukhuwah fi al insaniyah, dalam erti seluruh  manusia  bersaudara, kerana mereka semua bersumber dari ayah dan ibu yang satu. "Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya."  [QS Al hujurat, 49: 12], berdasarkan pembagian ukhuwah yang kedua ini maka semua manusia tanpa melihat agama adalah bersaudara, sehingga tidak salah kalau masalah-masalah sosial semua manusia harus saling bantu, saling menghargai, saling menghormati. Hal ini dijelaskan dalam al-Qur’an "Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu." [Qs an Nisa’ 4, 86]

Ukhuwah fi al-wathaniyah wa al nasab. Persaudaraan dalam keturunan dan kebangsaan seperti yang disyaratkan dalam al-qur'an artinya: "Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya." [Qs Al A’raf, 7: 65], dan [Qs Al Hujurat 10-12].

Ukhuwah fi din al Islam, persaudaraan antara sesama muslim seperti dalam surah Al- Ahzab ayat 5. demikian juga dalam sabda Rasul SAW. "Antum ashabi, ikhwanuna al ladzina ya’ tuna ba’di” (kalian adalah sahabat-sahabatku, saudara-saudara kita adalah yang datang  sesudah (wafat) ku.) [Quraish Shihab, 1994 : 358]


Setelah melihat huraian yang agak panjang diatas. Maka jelaslah ukhuwah yang sejati adalah yang dibina berasakan iman. Dan tidak sempurna iman jika tidak berukhuwah. Kedua-duanya saling berkait dan inilah perkara yang PERLU kita faham, kita hadam supaya ukhuwah yang terbina mempunyai kualiti di sisi Allah SWT. 


InsyaAllah, pada entri yang seterusnya saya akan kongsikan tentang tahapan/peringkat ukhuwah. 

Penting ke nak tau?

Eh, mestilah penting. Ini asas dalam berukhuwah atau membina persahabatan. Umpama kita nak bina sebuah rumah yang besar, kukuh dan cantik. Tentu sekali kita akan memilih bahan binaannya yang berkualiti tinggi. Malah kita sendiri yang akan buat penelitian reka bentuk yang kita sukai sebelum arahkan kontraktor rumah membinanya. Begitu juga dalam berukhuwah atau persahabatan. Biar kita bina dengan ilmu daripada terus membina dengan kejahilan yang akhirnya membawa kepada kemusnahan hubungan. 

Baiklah, sekian saja untuk kali ni. Sudilah menjengguk entri yang seterusnya. Mudah-mudahan segala yang dikongsi ini memberi manfaat pada kalian. InsyaAllah.